Maut kereta terjunam longkang
SAUJANA – “Panggilan kira-kira jam 8.15 pagi tadi (semalam) adalah yang terakhir daripada Noor Rosniah Sudin, 30, kepada saya sebelum arwah terlibat dalam kemalangan maut pada jam 8.30 pagi di kampung Saujana selepas 15 minit membuat panggilan,” luah rakan mangsa, Siti Safinah Awang, 29.
Safinah berkata, sebelum kejadian itu, arwah ada menghubunginya kerana tidak mengetahui jalan menuju ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif di kampung Raja, Besut bagi menghadiri Kejohanan Sukan Sekolah Agama negeri Terengganu anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Menurutnya, arwah yang mengajar di SMA Khairiah di Kuala Terengganu dan tinggal di Gong Badak sepatutnya bermalam dengannya bersama seorang lagi guru pengiring sepanjang tiga hari kejohanan itu berlangsung bermula 8 hingga 10 Mac di Besut.
“Namun, hasratnya untuk berulang dari rumahnya pada pagi semalam tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan yang begitu menyedihkan.
“Dalam kejadian itu, kereta dipandu arwah terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam longkang,” katanya ketika ditemui di Hospital Setiu.
Menurutnya, selepas panggilan terakhir daripada arwah, dia cuba menghubunginya semula kira-kira jam 9.43 pagi kerana berasa tidak sedap hati disebabkan terlalu lama menunggu.
“Namun, apabila mendengar suara lelaki dan memperkenalkan dirinya anggota polis saya cukup tergamam.
“Pada masa itu, saya telah memikirkan sesuatu yang buruk berlaku kepada arwah sehingga polis terbabit menyatakan rakan saya terlibat dalam kemalangan dan meninggal di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, sebelum terlibat dalam kemalangan, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya, malah sentiasa gembira bersama rakan dan pelajarnya.
“Daripada apa yang diberitahu ibunya, sebelum keluar dari rumah pada pagi kejadian, arwah sempat menyatakan bahawa dia tidak akan pulang ke rumah.
“Pesanan sedemikian menyebabkan ibunya berasa agak pelik dan keberatan untuk membenarkan arwah menghadiri kejohanan itu,” katanya.
Arwah yang telah mengajar di SMA Khairiah sejak pertengahan 2006 bagi mata pelajaran Kimia dan Matematik meninggalkan seorang suami dan anak perempuan berusia 10 bulan.
Sementara itu, Ketua Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
No comments:
Post a Comment